Pada 15 July 2012
hari puja usia kebawah duli yang maha mulia peduka baginda sultan yang di pertuan Negara Brunei Darussalam.
"Mari mari lah rakyat semua bersatu setia bergembira bahagia..menyambut hari puja usia kebawah duli yang maha mulia"
Di antara petikan titah kebawah duli sempena puja usia ke 66 tahun.
Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji
Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar
'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan
Negara Brunei Darussalam sempena Hari Keputeraan Baginda Yang Ke-66
Tahun pada 25hb. Sya’aban, 1433 /15hb. Julai, 2012
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Bismillahir Rahmanir Rahim
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya
Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina
Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Alhamdulillah, syukur kita kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana
dengan limpah kurnia-Nya jua, dapatlah istiadat bagi meraikan Hari
Keputeraan Beta pada pagi ini berjalan dengan baik dan lancar.
Pertama-tama, Beta ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan
dan terima kasih kepada para tetamu khas Beta, yang sudi hadir ke
Istiadat ini, dan juga kepada semua pihak yang telah menyembahkan
perutusan ucap selamat kepada Beta serta keluarga, bersempena perayaan
ini.
Dalam apa jua keadaan dan suasana ketika menyambut keraian
ini, kita hendaknya jangan terlepas pandang dari mensyukuri nikmat
Allah kepada kita dan negara, berupa keamanan dan kesejahteraan.
Beta juga bersyukur mempunyai rakyat yang bersatu-padu dan bertanggungjawab untuk sama-sama memelihara nikmat yang agung ini.
Dari keamanan akan wujud kestabilan, dan dari kestabilan memungkinkan kita lebih rancak untuk menggarap kemakmuran.
Oleh itu, semua lapisan rakyat adalah berkewajipan untuk memelihara dan mempertahankan kestabilan tersebut.
Dengan nikmat rezeki serta kestabilan yang ada, Kerajaan Beta insya Allah, akan meneruskan agenda pembangunan di dalam negara.
Pada tahun ini kita telah memulakan Rancangan Kemajuan Negara Ke-10
iaitu RKN kedua bagi membantu kita merealisasikan Wawasan Negara 2035.
RKN pada kali ini lebih menekankan kepada usaha memperkasa keupayaan
tenaga kerja, selari dengan teknologi baru dan innovasi, disamping
memberikan perhatian kepada kemudahan prasarana, pendidikan, kesihatan,
perhubungan, perumahan, riadhah serta tempat-tempat beribadat. Langkah
ini diharapkan mampu untuk membantu mempercepatkan lagi pertumbuhan
ekonomi, standing dengan kadar pertumbuhan ekonomi serantau.
Oleh itu adalah sangat mustahak bagi kita mempastikan perlaksanaan
perojek-projek dibawah RKN Ke-10 ini berjalan dengan menepati sasaran
waktunya. Janganlah ada yang tertinggal di belakang, apatah lagi yang
terbantut.
Beta amatlah gembira mendapati, pendekatan baru kita
dalam menyediakan perumahan untuk rakyat telah menampakkan hasil yang
menggalakkan. Bilangan rumah-rumah yang telah siap dan yang sedang dalam
pembinaan, ternyata berupaya untuk mengurangkan tempoh menunggu bagi
pemohon-pemohon.
Dalam usaha meningkatkan kesejahteraan
perumahan bagi rakyat ini, Beta telahpun memperkenankan beberapa
inisiatif untuk dilaksanakan oleh Kerajaan, seperti berikut:
Pertama - Untuk tidak megenakan bayaran premium tanah bagi pembaharuan
pajakan tanah yang tidak melebihi 1 ekar, yang diatas tanah berkenaan
sudah terdapat rumah kediaman pemilik atau untuk didirikan rumah
kediaman bagi tujuan yang sama.
Kedua - Satu Skim Tabungan
Perumahan, diwujudkan khusus untuk ahli-ahli TAP rakyat Negara Brunei
Darussalam. Keutamaan mengujudkan Skim ini ialah sebagai bantuan kepada
ahli-ahli TAP yang berpendapatan rendah.
Skim sukarela atau
voluntary ini, akan melayakkan peserta-pesertanya untuk menerima
manfa’at-manfa’at tertentu, antaranya jaminan pemberian pulangan tahunan
dengan kadar tertentu; dan bagi peserta yang pendapatan keluarganya
(household income) tidak melebihi $4,000 sebulan, akan layak untuk
dihulurkan bantuan Kerajaan berjumlah tidak melebihi $25,000.
Ketiga - Bagi anggota Perkhidmatan Awam, Beta juga telah memperkenankan
satu Skim Pinjaman Kewangan Perumahan di Jabatan Perbendaharaan untuk
dikemaskinikan dan disesuaikan dengan keadaan dan keperluan masakini.
Melalui perubahan tersebut, jumlah kemudahan kewangan yang boleh
dipohonkan bagi membina atau membeli sesebuah rumah, akan ditambah
kepada 60 bulan daripada gaji pokok, berbanding hanya 48 bulan yang
dibenarkan pada masa ini, tertakluk kepada syarat-syarat tertentu.
Kemudahan kewangan tersebut juga akan dilaratkan bagi pembelian tanah
bagi pembinaan rumah berkenaan dengan menggunakan peruntukan tidak
melebihi 24 bulan daripada gaji pokok bagi kemudahan kewangan tersebut.
Dengan bantuan serta kemudahan-kemudahan yang disediakan ini, Beta
percaya ianya akan dapat meringankan beban kos pemilikan rumah
dikalangan golongan-golongan tertentu di Negara ini, terutama mereka
yang berpendapatan rendah.
Walau bagaimanapun, Beta berharap,
dengan adanya bantuan dan kemudahan ini, akan menggalakkan lagi orang
ramai untuk sentiasa berjimat cermat dan berbelanja mengikut kemampuan.
Sebagai usaha Kerajaan dalam pembangunan Negara yang lebih menyeluruh,
satu berita baik, setelah selesainya kajian feasibility, Kerajaan Beta
sekarang ini sedang merancang dengan terperinci bagi pembinaan sebuah
jambatan, yang akan menghubungkan Daerah Temburong dengan Daerah Brunei
dan Muara.
Sejajar dengan tuntutan masa dan perkembangan
global, Beta dalam bidang ICT, juga telah memperkenankan peruntukan
sejumlah B$230 juta dibawah RKN Ke-10 untuk Kementerian Perhubungan
melaksanakan projek “Fibre-to-the-Home”, yang pada asasnya akan
menyediakan infrastruktur jalur lebar yang menyeluruh.
Ini
tidak syak lagi akan membawa kepada kemajuan Internet yang lebih
berkualiti yang mampu dimiliki oleh orang ramai. Pada waktu yang sama,
kemajuan perkhidmatan ini juga akan turut mengangkat daya-saing negara
bagi menarik pelaburan asing.
Namun perlu pula disedari, akan
kesan-kesan buruk sampingan, yang boleh saja berlaku dari penyalahgunaan
alat canggih ini. Kerana itu sangatlah wajar untuk diambil perhatian
oleh pihak-pihak yang berkepentingan, supaya lebih meningkatkan lagi
keupayaan dan kewaspadaan dalam perkara-perkara kawalan, pencegahan dan
penguatkuasaan.
Turut sama berkewajipan itu, ialah para
ibu-bapa, guru-guru, masyarakat, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan,
dan lebih-lebih lagi para belia, sekaku pengguna terbesar kemudahan ICT
itu.
Ambillah langkah memanfa’atkan ICT itu dengan cara yang betul.
Kewajipan ini adalah kewaijpan semua. Kita mesti mengamalkan nilai-nilai murni dan memelihara jatidiri kita, dengan calak MIB.
Kita adalah bangsa yang membangun dengan undang-undang, pendidikan dan
akhlak yang baik, serta bergerak maju diatas landasan ajaran ugama yang
suci. Kita menawarkan persahabatan kepada semua warga dunia, sambil
memberitahu, bahawa kita juga adalah rakan yang baik, yang sentiasa
bersedia untuk menghormati sesiapa saja.
Demikian itulah pula,
kita mengharapkan, agar rakan-rakan juga berpendirian seperti kita dalam
menilai dan memahami aspirasi masing-masing, demi untuk keselamatan dan
kesejahteraan, sekalipun tanggapan kita adalah berbeza.
Bersukut dengan 66 tahun keputeraan Beta ini, dengan segala kesyukuran,
yang akan melepaskan kita semua terutama Raja, dari dituntut oleh Allah
Ta’ala pada Hari Kandila kelak, maka Beta dengan Nama Allah Yang Maha
Pengasih lagi Maha Pemurah, setelah meneliti dan mendapat nasihat
daripada Badan yang berkenaan, sukacita memaklumkan bahawa Beta telah
memperkenankan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah untuk dilaksanakan
di Negara ini, namun dalam pada itu, peruntukan sivil atau ta’zir atau
seakan-akan ta’zir akan terus juga diguna-pakai mengikut keperluan.
Masih berkait dengan undang-undang. Kerajaan Beta dalam menagani
perbuatan-perbuatan curang, yang sepatutnya tidak berlaku, seperti
jenayah penyeludupan keluar minyak bersubsidi seperti diesel, yang amat
merugikan itu, tidak akan dibiarkan begitu saja. Kerajaan Beta adalah
tidak teragak-agak untuk menggunakan undang-undang bagi membenterasnya.
Sebagai sebuah negara yang berkerajaan, Perkhidmatan Awam adalah
jenteranya. Beta masih merasakan, bahawa kecekapan pengurusan dan
disiplin dalam Perkhidmatan Awam itu masih saja tetap ditahap yang
memerlukan peningkatan. Kemajuan kerjaya pegawai yang menitik-beratkan
kepimpinan, masih memerlukan perhatian.
Kerana itu, sehubungan
dengan ini, Beta telahpun memperkenankan satu kaedah kenaikan pangkat
yang digelar “Kaedah Kenaikan Pangkat Laluan Laju”, sebagai keadah yang
bukan eksklusif, dan juga sebagai sebahagian dari usaha dalam rancangan
penggantian pegawai-pegawai Bahagian II keatas.
Kaedeh ini dianggap mampu untuk merangsang pegawai-pegawai yang berprestasi tinggi, rajin dan komited.
Dalam bidang kesihatan pula Kerajaan adalah tidak lalai untuk
meningkatkan skop dan kualiti perkhidmatan. Namun kes-kes penyakit tidak
berjangkit seperti kencing manis, buah pinggang, darah tinggi, jantung
dan kanser, terus saja meningkat dan bahkan ditahap yang membimbangkan.
Pada hemat Beta, cara mencegah dan mengatasi penyakit-penyakit ini
adalah banyak bergantung kepada kesedaran dan keazaman setiap individu.
Untuk sihat, kita memerlukan disiplin gaya hidup sihat dan permakanan
sihat. Diantara gaya hidup sihat itu ialah rajin beriadhah. Sementara
permakanan sihat pula, ada dengan ketentuan-ketentuannya yang
tersendiri.
Dalam hal ini, ingin juga Beta melihat, sejauh
manakah sudah segala kempen atau promosi kita tangani, termasuk menilai
keberkesanannya secara empirical?
Kematian bukan saja kerana
penyakit, tetapi juga turut berlaku akibat kemalangan jalan raya. Ini
juga amat membimbangkan, kerana bilangannya terus meningkat.
Orang ramai biasanya sangat berhajat kepada jalan raya yang berkualiti,
tetapi ramai yang tidak mengedahkan harapan Kerajaan untuk melihat,
supaya semua pengguna jalan raya juga mestilah berkualiti.
Walau macam manapun, setakat ini, Beta turut berpuas hati dengan
pengenalan sistem demerit, yang dianggap berpotensi tinggi bagi
usaha-usaha penggunaan jalan raya yang lebih berhemah dan selamat.
Di dalam arena antarabangsa pula, Beta juga sangat berpuas hati, kerana
kita dapat memainkan peranan untuk kepentingan bersama didalam pelbagai
bidang, khasnya bidang kerjasama serantau mahupun global, berasaskan
kosep berbaik-baik dan hormat menghormati serta tidak campur tangan
dalam urusan atau kepentingan masing-masing.
Pada tahun 2013,
insya Allah negara kita akan menjadi Pengerusi ASEAN dan juga tuan rumah
kepada Mesyuarat Kemuncak ASEAN dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan.
Akhirnya, Beta dengan tulus ikhlas merakamkan setinggi-tinggi
penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh lapisan rakyat dan
penduduk, termasuk semua peringkat warga Perkhidmatan Awam,
Pasukan-Pasukan Keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor
swasta diatas sumbangan dan sokongan mereka kepada Kerajaan Beta.
Penghargaan yang setinggi-tingginya juga Beta sampaikan kepada seluruh
Ahli Jawatankuasa Perayaan di kedua peringkat kebangsaan dan daerah,
atas segala khidmat usaha yang gigih pada menjayakan Perayaan Ulang
Tahun Beta tahun ini.
Beta juga berdo’a semoga Negara Brunei
Darussalam ini akan senantiasa kekal aman dan makmur, dikurniakan limpah
rahmat dan lindungan dari Allah Subhanahu Wata’ala jua. Amin.
Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu‘alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan